
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sempena penganjuran program larian XTEP 10KM Time Trial 2026 di ibu negara, esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, acara berkenaan dijadual berlangsung bermula pukul 5 hingga 9 pagi di sekitar Padang Merbok.
Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan petugas trafik selain menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di kawasan terlibat sepanjang acara berlangsung.
“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sekitar lokasi program,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laluan yang terlibat ialah dari Padang Merbok melalui Jalan Berjasa, Jalan Sultan Salahuddin, Bulatan Dato Onn, Jalan Raja Laut, Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato Onn, Lebuhraya Sultan Iskandar (Mahameru) dan Jalan Parlimen.
Katanya, sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan program serta laluan terlibat boleh diperoleh dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran.






