
BATU PAHAT: Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Selasa lalu.
Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu sebuah van secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd. Fareez, 8, di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon pukul 12.30 tengah hari pada 5 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan beliau melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung bermula dari tarikh pertuduhan dan menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Song Yan.
Media sebelum ini melaporkan seorang murid tahun dua maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van ketika berjalan kaki di hadapan pintu pagar sekolah berkenaan.
Siasatan awal mendapati van terbabit sedang keluar dari kawasan sekolah menuju ke Jalan Simpang Lima-Parit Sulong selepas selesai menghantar barang.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.






