
Shah Alam: UMNO Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah yang melarang pembinaan ladang babi di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perbuatan memanipulasi titah sultan termasuk menyunting imej baginda untuk tujuan penghinaan disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak menghormati institusi diraja.
“Kami kekal konsisten dalam menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Negeri Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor.
“Semua pihak sewajarnya menghormati serta memahami kedudukan dan peranan Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah serta pandangan baginda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, setiap titah, pandangan, teguran dan nasihat yang dizahirkan Sultan Selangor mencerminkan semangat Raja Berperlembagaan selain menggambarkan peranan baginda sebagai ketua negeri yang sentiasa mendahulukan kesejahteraan rakyat serta kestabilan Selangor.





