
KUALA LUMPUR: UMNO menafikan wujud sebarang perancangan menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sebelum ini menarik semula sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada cadangan dibincangkan bagi menukar Menteri Besar ketika diminta mengulas pendirian UMNO Negeri Sembilan yang masih tidak lagi menaruh keyakinan terhadap Aminuddin, namun terus mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tidak ada cadangan (untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang),” katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemelut pentadbiran Negeri Sembilan yang tercetus susulan isu berkaitan adat dan perlembagaan negeri, maka setiap pihak perlu menghormati peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Beliau turut mengingatkan agar tiada campur tangan daripada mana-mana pihak, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk menyelesaikan isu yang timbul secara baik dan mengikut saluran sewajarnya.
“Pendirian bukan (UMNO) Negeri Sembilan saja tetapi juga pendirian kita yang bukan menolak, tetapi tidak mendukung selagi beliau (Aminuddin) campur tangan dalam undang-undang dan adat di Negeri Sembilan.
“Kita mahu supaya soal core ruler (pemerintah) di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat harus dihormati. Biarlah mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya.






