
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya dengan menggunakan beberapa objek dalam kejadian berasingan pada Mac dan April lalu.
Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, dengan memukul mangsa menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya pukul 5 petang, 29 Mac lalu.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan besi penyangkut langsir terhadap mangsa di lokasi sama kira-kira pukul 9 pagi pada 23 April lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.
Mahkamah dimaklumkan walaupun kesalahan itu boleh dijamin, proses berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Peguam bela bagaimanapun merayu agar mahkamah mempertimbangkan jaminan atas alasan tertuduh mempunyai dua isteri dan menanggung 11 anak termasuk tujuh yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita yang juga penjawat awam cedera parah di beberapa bahagian badan selepas dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa keguguran kandungan berusia 12 minggu.
Suspek kemudian ditahan polis di sekitar Alor Setar selepas dipercayai melarikan diri sejurus kejadian. Polis turut mengesahkan lelaki itu pernah disabitkan kesalahan memukul isteri di Johor Bahru pada 2021.






