
KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mengurangkan kadar sewa premis di bawah seliaan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia bagi membolehkan peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro bertahan susulan peningkatan kos operasi yang kini mencecah antara tujuh hingga 58 peratus daripada keseluruhan kos perniagaan mereka.
“Mereka terdedah kepada aliran tunai yang lemah dan kebergantungan kepada satu sumber pendapatan. Tanpa intervensi, risiko penutupan premis boleh meningkat dengan ketara,” katanya ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global secara dalam talian, hari ini.
Akmal berkata, inisiatif itu telah dimulakan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang melaksanakan pengurangan sewa 20 peratus bagi 7,135 lot premisnya bermula bulan ini.
Sementara itu, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula memberikan potongan 50 peratus bagi tapak penjaja terpilih sehingga Disember 2027.
“Perkara ini boleh dilaksanakan secara bersasar bergantung kepada kapasiti setiap pihak berkuasa tempatan.
“Tujuannya adalah untuk memastikan peniaga kecil terus dapat beroperasi, meringankan beban dan tekanan mereka, memastikan pekerja terus memperoleh pendapatan, mengelakkan premis dibiarkan kosong serta mengekalkan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya







