
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen mencadangkan supaya satu sesi tinjauan fizikal dilakukan terhadap tiga gajah Asia milik Zoo Taiping dan Night Safari yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Jawatankuasa yang dianggotai 12 Ahli Dewan Rakyat dan dipengerusikan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed, memaklumkan tinjauan tersebut penting bagi melihat sendiri keadaan tiga gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK), susulan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat berhubung pemindahan haiwan tersebut.
Menurut kenyataan jawatankuasa itu hari ini, langkah berkenaan perlu bagi memastikan setiap keputusan yang diambil selepas ini berasaskan fakta tepat serta dapat memberi keyakinan kepada rakyat.
Sebelum ini, satu mesyuarat telah diadakan di bangunan Parlimen antara jawatankuasa berkenaan bersama delegasi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi.
Mesyuarat turut disertai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia serta wakil pelbagai kementerian berkaitan yang memberikan taklimat mengenai kronologi pemindahan, aspek pematuhan undang-undang, keselamatan logistik serta fasiliti di Zoo Tennoji.
Aspek kesihatan dan kebajikan gajah DAK turut dibentangkan kepada jawatankuasa berkenaan. Namun, jawatankuasa memaklumkan bahawa beberapa maklumat tambahan masih diperlukan, termasuk penelitian terhadap dokumen perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji bagi memahami obligasi kedua-dua pihak.
Jawatankuasa turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dalam memberikan penerangan serta memainkan peranan semak dan imbang kepada Parlimen.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penghantaran gajah DAK ke Jepun pada 10 Mei lalu adalah sebahagian daripada perancangan konservasi yang telah dimulakan lebih sedekad lalu melalui perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji.
Namun, pemindahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang meluahkan kebimbangan terhadap kebajikan dan penyesuaian haiwan berkenaan di habitat baharu.





