
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengenal pasti kaedah memberi insentif kepada pengendali pengangkutan menggunakan trak elektrik (EV) sebagai usaha jangka panjang mengurangkan kos subsidi diesel.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan pandangan mengenai perkara itu dalam mesyuarat Pasukan Petugas EV Kebangsaan pada minggu depan bagi menggalakkan perbincangan mengenai insentif penggunaan trak EV.
“Ini adalah sesuatu yang bagi saya adalah wajar, bukan hanya kerana kita perlu mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050, tetapi juga dari segi kecekapan bahan api serta kos kepada kerajaan.
“Lebih baik sebenarnya untuk kerajaan memberi insentif kepada pengendali menggunakan trak EV kerana bil (kos) subsidi diesel kita amat tinggi, terutamanya pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan acara Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu Loke berkata, mekanisme semasa bagi subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan dikekalkan buat masa ini susulan kebimbangan terhadap semakan subsidi yang dirancang, khususnya melibatkan golongan T20.
“Kerajaan sentiasa membincangkan rasionalisasi subsidi, tetapi perkara paling penting ialah mencari mekanisme terbaik. Buat masa ini, tidak timbul soal memotong subsidi bagi kumpulan T20,” katanya.






