
KUALA LUMPUR: Tiada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera atau maut dalam letupan dipercayai melibatkan dron berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ) di Naqoura, semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden kira-kira 5.30 petang waktu Malaysia itu berlaku kira-kira 20 meter dari Malaysia House dan hanya menyebabkan kerosakan kecil pada bangunan berkenaan.
”Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata sebelum insiden letupan, siren amaran dibunyikan pada 5.19 petang (waktu Malaysia) dan arahan memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST bertugas di Markas UNIFIL.
Beliau berkata kawasan sekitar Malaysia House ditutup sementara untuk siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL.
“Pada masa sama, penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan melibatkan struktur bangunan dan peralatan manakala tindakan susulan berkaitan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13,” katanya.
Katanya, Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi di kawasan operasi dan bekerjasama dengan UNIFIL bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara.







