
KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga hari, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf serta menarik semula kenyataannya yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ ketika menyampaikan ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu mengakui kekhilafan dalam menyusun fakta dan cara penyampaian sehingga menimbulkan kontroversi serta mengguris perasaan pelbagai pihak.
“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut. Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nik Muhammad Zawawi menjelaskan ceramahnya di Kuala Terengganu itu tidak pernah bertujuan merendahkan martabat atau menghina insan terpilih yang dimuliakan Allah SWT.
Menurutnya, kenyataan tersebut sebenarnya bertujuan menerangkan keagungan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mentransformasikan masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih berakhlak dan bertamadun.
Beliau pada masa sama menegaskan isu berkenaan merupakan kekhilafan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian PAS mahupun kepimpinan parti itu.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian PAS mahupun kepimpinannya,” katanya.
Dalam satu video yang dikongsikan Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, Nik Muhammad Zawawi turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ilmuwan, sahabat dan masyarakat yang memberikan teguran, nasihat serta pandangan terhadap kenyataannya.
Beliau berkata, terdapat pihak yang memberikan sokongan dan ada juga yang menegur secara baik kerana kenyataannya membabitkan sahabat Rasulullah SAW.
“Saya sendiri sama sekali tidak berniat menghina para sahabat. Cuma kesilapan di sebelah saya apabila menggunakan satu perkataan yang agak besar seperti ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’.
“Jadi saya tarik balik penggunaan perkataan ini dan saya mohon maaf kepada sesiapa yang terasa hati,” katanya.






