
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani membantah sebarang usaha untuk memberikan pengampunan kepada ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara itu.
Beliau berkata, permohonan pengampunan yang dilaporkan dikemukakan Jho Low kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak wajar diluluskan.
Katanya, pihak berkuasa AS perlu membantu Malaysia mengesan keberadaan ahli perniagaan terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Setakat yang saya tahu, saya tidak bersetuju beliau diberi pengampunan,” katanya menerusi mesej teks ketika diminta mengulas laporan Wall Street Journal (WSJ).
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, beliau juga tidak mengetahui sebarang rundingan antara Jho Low dan kerajaan Malaysia berkaitan pemulangan aset 1MDB.
Pasukan petugas 1MDB yang dipengerusikannya ditubuhkan bagi mendapatkan semula dana serta aset berkaitan 1MDB di seluruh dunia.
Jho Low berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di Malaysia dan AS susulan dakwaan peranannya dalam penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion daripada 1MDB.
Namun, beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku, manakala lokasi keberadaannya sehingga kini masih tidak diketahui.
Menurut laporan WSJ, Jho Low baru-baru ini memfailkan permohonan pengampunan yang sekiranya diluluskan akan menggugurkan pertuduhan jenayah terhadapnya di AS.
Laporan sama turut memetik seorang pegawai White House sebagai berkata, permohonan berkenaan ketika ini belum menjadi perhatian pihak pentadbiran AS.
Laman web Jabatan Kehakiman AS turut menyenaraikan satu permohonan “pengampunan selepas tamat hukuman” atas nama Taek Jho Low yang difailkan tahun ini.
WSJ turut melaporkan Malaysia sebelum ini menggantung sementara notis merah Interpol terhadap Jho Low bagi memudahkan proses pemulangan sejumlah besar aset kepada negara ini.
Pada 2019, AS mencapai penyelesaian untuk mendapatkan semula kira-kira AS$1 bilion daripada Jho Low yang melibatkan penyerahan jet peribadi, hartanah mewah di Beverly Hills, New York dan London serta beberapa aset lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara bagi mempercepatkan usaha membawa pulang Jho Low, namun tidak mendedahkan negara terbabit.
Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan Jho Low dipercayai berada di China, namun dakwaan itu dinafikan Beijing.






