
PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdul Halim Aman hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu menggantikan Tan Sri Azam Baki.
Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu berkuat kuasa hari ini selepas Azam menamatkan kontraknya semalam susulan 42 tahun berkhidmat bersama SPRM.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pengalaman luas Abdul Halim dalam bidang perundangan diyakini mampu memperkukuh lagi peranan SPRM sebagai badan penguat kuasa berprestij.
“Tahniah diucapkan atas pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei 2026.
“Saya percaya kredibiliti dan pengalaman beliau dalam jalur perundangan akan terus memberi nilai tambah serta mengangkat kedudukan SPRM di peringkat dalam dan luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut berkongsi gambar penyerahan watikah pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada Azam atas jasa dan sumbangannya sepanjang lebih empat dekad bersama SPRM.
Katanya, pelbagai kejayaan dan reformasi berjaya dilaksanakan Azam dalam memperkukuh SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang unggul.
“Jasa bakti Tan Sri akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara walau dalam apa juga kapasiti selepas ini,” katanya.
Abdul Halim dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1982 sebelum melanjutkan pengajian di University of Hull dan memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang pada 1996.
Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1982 serta pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar serta hakim Mahkamah Sesyen di beberapa negeri.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Timbalan Pendakwa Raya serta Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara.
Pada 2005, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2007.
Beliau kemudian berkhidmat di beberapa Mahkamah Tinggi termasuk di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Shah Alam sehingga bersara wajib pada Mac 2023.






