
PARIT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan harga ubat di negara ini masih terkawal dengan peningkatan sekitar satu hingga dua peratus.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan tersebut berada pada kadar inflasi normal dan tidak menunjukkan sebarang lonjakan ketara seperti yang pernah dibimbangi.
Beliau menjelaskan, keadaan harga yang stabil itu dicapai menerusi kerjasama erat dalam kalangan pemain industri termasuk Pharmaniaga dan Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) yang turut menanggung sebahagian kenaikan kos operasi.
“Setakat ini, mereka telah menyerap dan menanggung peningkatan kos yang terkait termasuk penggunaan diesel.
“Dengan itu ubat-ubatan hari ini kekal dalam julat harga yang tidaklah melonjak. Kalau ada kenaikan pun sekitar satu hingga dua peratus sahaja dan kita harapkan ia kekal begini kerana kerjasama yang diberikan pihak industri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis perasmian Hospital Seri Iskandar di sini, hari ini.
Hospital berkenaan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dalam perkembangan sama, Dzulkefly menambah, KKM telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Keselamatan Ubat dan Peranti Perubatan bagi memastikan pemantauan bekalan serta harga ubat dilaksanakan secara berterusan.
Ujarnya, ia termasuk melalui sistem amaran awal untuk mengesan sebarang gangguan dalam rantaian bekalan.
“Pemantauan dilakukan setiap minggu dengan penggunaan laporan masa nyata yang meliputi tahap kecukupan bekalan, kos terlibat serta tindakan susulan seperti penyediaan stok penampan dan perancangan simpanan jangka panjang.
“KKM juga berusaha mempelbagaikan sumber bahan mentah termasuk Active Pharmaceutical Ingredient (API) serta komponen peranti perubatan bagi menjamin bekalan ubat kritikal sentiasa mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, KKM juga menggerakkan pusat sehenti atau nerve centre yang mengintegrasikan maklumat daripada fasiliti kesihatan awam, hospital swasta, klinik serta pemain industri bagi memastikan tiada gangguan khususnya melibatkan ubat kritikal.







