
ALOR SETAR: Wanita yang cedera parah selepas ditikam di bahagian leher oleh rakan lelakinya di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas kelmarin, selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), semalam.
Berita Harian melaporkan, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya menjalani pembedahan selama 10 jam akibat kecederaan serius dialami dalam kejadian tersebut.
“Pembedahan bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang semalam. Alhamdulillah, adik selamat menjalani pembedahan dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Buat masa ini dia masih ditidurkan bagi membolehkan tubuhnya berehat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di sini hari ini.
Namun, dia meminta pihak media dan orang ramai memberi ruang kepada keluarga memandangkan mereka masih terkejut dengan kejadian berkenaan.
Menurutnya, dua anak mangsa kini dijaga ahli keluarga sementara wanita itu menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, seorang jiran mangsa di Taman Wira, Mergong berkata, dia sering melihat wanita terbabit memandu sebuah kereta jenis Mazda 3, namun tidak pernah bertegur sapa.
“Mangsa tinggal bersama dua anaknya dan jarang berada di rumah. Bila tahu dia ditikam, memang terkejut sebab tak sangka perkara seperti itu berlaku,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Syed Basri Syed Ali berkata, keadaan mangsa ketika ini stabil.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita cedera parah selepas dipercayai ditikam rakan lelakinya dalam kejadian pukul 9.19 malam di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 32 tahun sudah ditahan polis ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda selepas melarikan diri lebih empat jam sejurus kejadian berlaku.





