
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran enam pegawai kanan melibatkan beberapa jawatan penting yang akan berkuat kuasa bulan depan.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Julina Salehuddin berkata, mendahului senarai pertukaran ialah Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dennis Lim Kwang Keng yang dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang baharu dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP) berkuat kuasa 20 Jun ini.
Menurut beliau, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Terengganu.
“Pertukaran turut melibatkan Ketua Jabatan KDNKA Terengganu, Azrul Hisham Mohd Shaffei yang akan menggantikan Raub sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Syamsul Sinring dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kulim.
Ketua Bahagian Pengurusan Langkawi, Mohamad Sani Mat Ali pula akan mengisi jawatan Ketua Polis Daerah Bandar Baharu dengan memangku pangkat Superintenden (Supt).
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan, Ramzi Mahmudin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Selama.
Menurut Julina, semua pelantikan tersebut akan berkuat kuasa pada 22 Jun ini kecuali pelantikan Ketua Polis Pulau Pinang yang bermula 20 Jun.






