
WASHINGTON: Sokongan rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap penglibatan ketenteraan negara itu dalam konflik melibatkan Iran semakin merosot, menurut satu tinjauan pendapat terbaharu.
Tinjauan yang dijalankan oleh akhbar The New York Times bersama Siena College mendapati majoriti rakyat AS kini menolak tindakan ketenteraan terhadap Iran serta bantuan ketenteraan kepada Israel.
Kajian membabitkan 1,507 pengundi berdaftar itu menunjukkan hanya 30 peratus responden menyokong tindakan ketenteraan AS terhadap Iran, manakala 64 peratus lagi menyatakan bantahan.
Selain itu, sebanyak 57 peratus responden turut menentang penyaluran bantuan ketenteraan AS kepada Israel berbanding hanya 37 peratus yang menyokong langkah berkenaan.
Sebagai perbandingan, tinjauan oleh Quinnipiac University pada November 2023 menunjukkan lebih 51 peratus pengundi AS ketika itu menyokong penghantaran bantuan ketenteraan tambahan kepada Israel.
Perubahan sentimen tersebut berlaku ketika pentadbiran Donald Trump berdepan tekanan politik domestik susulan kesan ekonomi dan bantahan terhadap konflik berterusan di Asia Barat.
Menurut laporan itu, kadar kelulusan terhadap pentadbiran Trump kini menurun kepada 37 peratus.







