
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak wajar diadakan dalam masa terdekat ketika negara memerlukan kestabilan politik bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa dan kesan konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, tempoh tiga hingga enam bulan akan datang amat kritikal untuk kerajaan memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara selain mengurangkan impak ketidaktentuan geopolitik terhadap rakyat.
“Saya lebih cenderung untuk mengatakan tidak kerana dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, usaha mengurangkan kesan konflik di Asia Barat dan membina daya tahan ekonomi sangat penting.
“Untuk itu, kita perlukan kestabilan politik,” katanya dalam temu bual program The Breakfast Grille terbitan BFM hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal susulan perkembangan politik semasa termasuk polemik melibatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor.
Semalam, Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Parlimen mungkin dibubarkan lebih awal sekiranya rakan dalam kerajaan perpaduan terus mencetuskan ketegangan politik yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran negara.
Anwar merujuk perkembangan di Johor apabila BN negeri dilaporkan berhasrat bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus mengundang reaksi beberapa pemimpin PH memandangkan kedua-dua gabungan itu bekerjasama di peringkat Persekutuan.
Mengulas lanjut, Khairy berkata PRN Johor dan Melaka bagaimanapun tidak dapat dielakkan memandangkan tempoh penggal DUN di kedua-dua negeri berkenaan hampir tamat, selain menyifatkan keputusan pilihan raya itu bakal menjadi penanda aras penting buat BN dalam menentukan hala tuju politik gabungan berkenaan menjelang PRU16.







