
KULIM: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad diberi kebebasan untuk menentukan arah politik masing-masing.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasrat kedua-dua pemimpin itu untuk mengumumkan hala tuju baharu secara serentak pada Konvensyen PH 2026, Ahad ini, tidak wajar dianggap sebagai satu bentuk sabotaj.
Menurut beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, tindakan tersebut adalah selari dengan prinsip demokrasi negara yang memberi ruang kepada setiap individu untuk bersuara dan membuat keputusan sendiri.
“Rafizi dan kawan lain bebas membuat apa juga pengumuman kerana negara ini adalah negara demokrasi. Kita ada jaminan kebebasan berpersatuan, kebebasan berkumpul dan sebagainya.
“Tetapi kalau kemudiannya tarikh (pengumuman Rafizi) bertembung (Konvensyen PH 2026), saya tak lihat ia sebagai percubaan untuk sabotaj atau sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution menjelaskan Sekretariat PH telah lama merangka penganjuran konvensyen tersebut sebagai langkah awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, PH akan terus melaksanakan perancangan yang telah disusun, khususnya dalam memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi di negeri-negeri yang dijangka terlibat dalam PRN.
“Konvensyen PH ini kita buat perancangan lama, sudah berbulan-bulan kita bincang. Ia adalah permulaan kepada PRN yang kita susun perancangannya dan tumpu kepada mobilisasi kekuatan yang ada pada PH.
“Ia tak akan terkesan hanya dengan satu pengumuman Rafizi. Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada sahabat saya kalau itu permulaan laluan yang dia pilih, manakala PH akan terus menyelesaikan perkara yang sudah disusun,” katanya.
Semalam, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, menyatakan pengumuman hala tuju politiknya bersama Nik Nazmi pada Ahad ini sebagai sesuatu yang luar biasa dan bukan sekadar pengumuman politik biasa.







