
KULIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan laporan yang menyamakan kegiatan pengedaran dadah di Langkawi dengan operasi kartel antarabangsa.
Beliau berkata, skala pengedaran dadah di pulau peranginan itu tidak setara dengan kartel besar seperti yang diketuai Pablo Escobar yang menguasai rangkaian pengedaran dadah secara kompleks.
“Di Langkawi ini tidaklah sampai tahap macam itu sekali, tetapi tidak apalah, media memilih untuk menyatakan begitu, tidak apalah itu pilihan dia (media).
“Cuma kita tahu, bertindak atas semua maklumat perisikan yang kita ada dan intipan kita bukannya hanya setelah media dedahkan, tidak, ia adalah pengintipan sepanjang masa dan bila masanya memerlukan kita membuat tindakan, serbuan, maka kita buatlah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat di Taman Sejahtera, Lunas, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution menjelaskan, siasatan kegiatan pengedaran dadah di Langkawi dilakukan secara menyeluruh dengan menumpukan kepada semua elemen termasuk jenayah terancang dan dakwaan penglibatan anggota penguat kuasa.
Beliau menegaskan, pihak polis tidak akan melindungi mana-mana individu termasuk anggotanya yang terbabit dalam kegiatan itu.







