
KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM) merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem permuziuman negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah tersebut bakal menjadi undang-undang Persekutuan pertama digubal secara khusus bagi mengawal selia penubuhan, pendaftaran dan pengurusan aktiviti permuziuman di negara ini.
Beliau menambah, cadangan penetapan dasar bagi penggubalan RUUMM itu telah dibentangkan dan dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April lalu.
“Akta ini akan terpakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meliputi aspek penubuhan Majlis Muzium Malaysia (MMM), tadbir urus muzium Persekutuan dan persendirian, pewujudan Daftar Muzium serta Daftar Koleksi,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Tengah 2026 dan Bermalam di Muzium Bersama Belia di sini, hari ini.
Aaron berkata, Kerajaan MADANI kekal komited dalam usaha meremajakan institusi muzium agar terus relevan, dinamik dan dekat dengan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan, buat julung kali Geran Padanan Muzium diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026 sebagai inisiatif untuk memperkasa pembangunan serta transformasi sektor permuziuman negara.
“Geran ini memberi keutamaan kepada projek dan program yang bersifat rakyat-centric serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Ia meliputi empat skop utama iaitu pembangunan infrastruktur kekal, pendigitalan muzium, penyediaan ruang pendidikan dan pelaksanaan program permuziuman,” ujarnya.
Mengenai sambutan Minggu Perpaduan, beliau berkata, program diperkenalkan sejak tahun 2023 itu adalah sebagai wadah menyemarakkan semangat perpaduan, memperkukuh kefahaman terhadap kepelbagaian budaya serta mempertingkatkan integrasi nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sambutan Minggu Perpaduan telah memasuki tahun keempat pelaksanaannya dan terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat.
“Pemilihan Muzium Negara sebagai lokasi penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 bertepatan kerana muzium bukan sekadar institusi penyimpanan artifak dan khazanah sejarah malah berperanan sebagai tapak integrasi nasional menyatukan rakyat melalui penghayatan terhadap sejarah, warisan serta identiti negara,” katanya.
Beliau menambah, penganjuran tersebut juga amat signifikan kerana bertepatan dengan sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 yang bakal diraikan di seluruh dunia pada 18 Mei ini.
Pada tahun ini, katanya, sambutan tersebut membawa tema ‘Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah’ yang jelas menggambarkan peranan penting muzium sebagai medium penyatuan masyarakat melalui perkongsian sejarah, budaya dan nilai kemanusiaan sejagat.







