
KUALA LUMPUR: Seramai 103 pelajar dari Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) menyertai ‘Program Bermalam di Muzium Bersama Belia’ sempena sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Tengah 2026 di Muzium Negara, malam tadi.
Jabatan Muzium Malaysia (JMM) berkata, program julung kali itu memberi tumpuan kepada penglibatan belia khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi dan kolej melalui aktiviti pendidikan, sejarah serta pembinaan jati diri.
“Pendekatan santai dan interaktif program berkenaan bertujuan mendekatkan golongan muda dengan muzium di samping memupuk minat terhadap sejarah, warisan dan identiti nasional.
“Program itu juga menjadi platform memperkukuh perpaduan dalam kalangan belia pelbagai latar belakang,” kata JMM dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut JMM, penganjuran kali ini turut diserikan dengan penyertaan tujuh finalis Unduk Ngadau Lembah Klang 2026 serta beberapa bekas peserta pertandingan berkenaan bagi memperkaya elemen kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia.

Sementara itu, seorang peserta, Faqihah Ahmad Hasbi, 23, mengakui program bermalam di Muzium Negara amat menyeronokkan dan memberikan pengalaman baharu.
“Pada mulanya, saya berasa sedikit takut bermalam di Muzium Negara kerana suasana gelap dan perlu mencari lokasi sesuai untuk berehat serta mengecas telefon bimbit.
“Waktu malam agak sejuk hingga menyebabkan kerap terjaga daripada tidur, namun ia tetap seronok dan boleh cuba lagi bermalam di sini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Umar Mohd Rafi, 23, pula berkata, pengalaman unik itu wajar diteruskan kerana mampu memberi pendedahan berbeza kepada golongan muda mengenai institusi muzium dan warisan negara.
“Sebelum ini kebanyakan program yang saya sertai melibatkan aktiviti perkhemahan, namun peluang bermalam di muzium memberi pengalaman berbeza dan lebih bermakna,” katanya.

Peserta, Nurul Diyana Mat Nasir, 22, menyifatkan suasana di muzium juga tidak menakutkan seperti yang dibayangkan sesetengah pihak, malah program berkenaan berlangsung dalam keadaan selesa dan menyeronokkan.
Katanya, orang ramai khususnya golongan muda disaran mencuba pengalaman bermalam di muzium sekiranya diberi peluang.





