
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bakal dibentang pada sidang Parlimen bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, draf pindaan RUU itu mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan.
“Kita telah membuat satu draf pindaan Perlembagaan yang saya lihat mungkin akan mendapat sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen, daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang.
“Saya berharap apabila kita bawa pindaan ini, ia akan menjadi satu pindaan yang bersejarah kepada negara kita iaitu sejarah kewujudan peguam negara dari kemerdekaan sampai sekarang, kita wujudkan pemisahan (peranan) antara peguam negara dengan pendakwa raya,” katanya pada sidang media hari ini.
Azalina berkata, wakil pembangkang juga diminta memberi sokongan kepada kerajaan terhadap RUU itu memandangkan pindaan tersebut akan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.
“Kita mahu memaklumkan kepada orang ramai bahawa inilah sebenarnya maksud reformasi institusi. Dengan mengambil kira dan memastikan bahawa fungsi AG-PP (Peguam Negara dan Pendakwa Raya) di negara kita dipisahkan.
“Saya berharap perubahan sejarah ini akan menjadi duluan baharu, satu set duluan baharu untuk negara kita untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.






