
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini secara rasmi menghantar surat peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Kedua-dua mereka berkata, tindakan itu dibuat susulan keputusan untuk meneroka agenda politik baharu selain berhasrat bertanding semula di kerusi berkenaan menerusi platform Parti Bersama Malaysia pada pilihan raya akan datang.
Menurut mereka, langkah mengosongkan kerusi Parlimen itu adalah tindakan yang wajar dan terhormat memandangkan kemenangan diperoleh atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang telah memilih kami mewakili mereka di Parlimen selama dua penggal,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi dan Nik Nazmi memaklumkan pusat khidmat Ahli Parlimen di kedua-dua kawasan akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan bantuan dan perkhidmatan kepada penduduk tidak terjejas.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan menerusi surat berasingan memaklumkan peletakan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta hari ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil pihak berkaitan.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR sebelum mengesahkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia, sebuah parti politik yang didaftarkan pada 2 Disember 2016, sebagai platform politik baharu mereka.







