
KUALA LUMPUR: Semua 19 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dibuka secara percuma kepada warganegara pada 18 Mei ini sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat khususnya generasi muda mengunjungi muzium dan mendekati sejarah serta warisan negara.
“Rakyat juga diharap dapat menghayati peranan muzium sebagai institusi ilmu, pemangkin perpaduan dan medium pembinaan identiti bangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Tengah 2026 dan Bermalam di Muzium Bersama Belia di sini, hari ini.
Aaron menambah, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor akan menganjurkan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 di Johor pada 23 hingga 30 Jun ini.
Katanya, penganjuran itu diharap dapat menjadi platform penting dalam memperkukuh peranan muzium sebagai ruang pendidikan, pemeliharaan warisan dan medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum, budaya serta latar belakang.
Pada masa sama, orang ramai dijemput hadir ke Dataran Muzium Negara bermula 15 hingga 17 Mei sempena Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah yang menghimpunkan lebih 30 aktiviti berteraskan kebudayaan, warisan, kesenian dan integrasi sosial.
Pelbagai pengisian menarik telah dirangka antaranya Pameran Kami Anak Malaysia, Program Bermalam di Muzium Bersama Belia, Eksplorasi Muzium Bersama Unduk Ngadau, Unity Brisk Walk Busana Etnik dan Kempen Derma Koleksi.
Selain itu, turut diadakan Pesta Sambal Perpaduan, persembahan Colourful Malaysia, FoodUnites, lawatan berpandu percuma pada waktu malam bersama Sukarelawan Muzium Jabatan Muzium Malaysia dan pelbagai aktiviti interaktif lain.





