
KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam suruhanjaya itu akan didedahkan kepada umum apabila tiba masanya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan perlu menunggu maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selain memastikan semua prosedur siasatan diselesaikan sepenuhnya sebelum sebarang pendedahan dibuat.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan proses siasatan berjalan secara menyeluruh dan teratur mengikut lunas perundangan.
“Kita perlu pastikan siasatan selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut berkaitan pemakluman hasil siasatan dapat dibuat,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Menurutnya, keputusan untuk mendedahkan hasil siasatan itu bagaimanapun tertakluk kepada pertimbangan Jemaah Menteri selepas semua proses berkaitan dimuktamadkan.
“Terserah kepada Jemaah Menteri, sekiranya dirasakan proses siasatan sudah mencukupi, maka ketika itu pendedahan boleh dibuat,” katanya.
Semalam, Shamsul Azri Abu Bakar menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap agensi media terbabit, manakala Fahmi menegaskan semua proses perlu dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat.







