
KLANG: Peguam Mohd Faizi Che Abu tidak menolak kemungkinan untuk menuntut pampasan sehingga RM1 juta bagi pihak anak guamnya Nor Nadia Abdul Majid, 32, yang kehilangan suami akibat dilanggar pemandu mabuk pada Ahad lalu.
Beliau turut dilantik sebagai peguam pemerhati oleh Mahkamah Majistret sepanjang prosiding kes membabitkan seorang juruteknik yang didakwa menyebabkan kematian mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33, dalam kejadian di Jalan Raya Barat.
“Kami dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap tertuduh dan juga pihak insurans bagi keadaan kes ini.
“Jadi pihak keluarga dalam proses untuk mendapatkan dokumen dan juga maklumat-maklumat daripada pihak berkuasa sebelum tindakan selanjutnya iaitu tindakan sivil diambil.
“Kita ada figures yang kita akan tuntut berdasarkan kepada prinsip undang-undang ketetapan kes-kes duluan sebelum ini, mungkin dalam jumlah yang tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Klang, di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang juruteknik yang memandu kereta melanggar penghantar makanan pada Ahad lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi, pada 29 Mac lalu.
Menurut Mohd Faizi, jumlah tuntutan pampasan akan dikira berdasarkan pendapatan mangsa, sumbangannya kepada keluarga serta faktor umur dan tanggungan.





