
KUALA LUMPUR: Bloomberg News mempertahankan laporannya berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Memetik laporan Berita Harian, ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas, jurucakap Bloomberg News dalam jawapan ringkas berkata “Kami mempertahankan laporan kami.”
Semalam, firma guaman Azam, Zain Megat & Murad dalam satu kenyataan memaklumkan artikel berkenaan sebagai bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab dan sangat mengelirukan, selain didakwa memberi kesan serius bukan sahaja kepada Azam secara peribadi, malah terhadap maruah dan integriti institusi jawatan ketua agensi antirasuah itu.
Menurut kenyataan itu, pihaknya diarahkan untuk memulakan tindakan undang-undang dan menuntut segala remedi yang tersedia di sisi undang-undang termasuk tuntutan ganti rugi serta relif lain yang difikirkan sesuai.
Semakan mendapati surat tuntutan (LOD) telah dihantar ke pejabat Bloomberg di Amerika Syarikat dan Malaysia.
Berdasarkan LOD bertarikh 12 Februari 2026 yang dilihat oleh New Straits Times, artikel bertajuk Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry diterbitkan pada 10 Februari lalu dan ditulis oleh dua wartawan.
Surat berkenaan mendakwa artikel itu menyatakan Azam, dalam kapasiti beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan dengan SSM, serta menyifatkannya sebagai pendedahan awam pertama mengenai pegangan besar atas namanya sejak kontroversi terdahulu.
LOD tersebut berhujah penerbitan berkenaan memberi gambaran Azam tidak mengisytiharkan asetnya secara terbuka, selain mencadangkan wujud salah laku berhubung pegangan saham itu.
Antara lain, surat itu menegaskan Azam telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan aset sebagai penjawat awam, termasuk melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Saham yang dirujuk dalam artikel tersebut juga didakwa telah dilupuskan sebelum penerbitan laporan berkenaan.
Artikel itu turut didakwa mengungkit semula tuduhan lama yang telah disiasat dan diselesaikan sehingga menimbulkan gambaran mengelirukan seolah-olah berlaku salah laku.
Menurut LOD berkenaan, nada keseluruhan laporan itu membayangkan Azam bertindak menyalahi undang-undang, tidak jujur atau memiliki kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.
Sehubungan itu, Bloomberg dituntut supaya mengeluarkan permohonan maaf bertulis yang jelas dan tanpa syarat dalam tempoh 14 hari, menarik balik serta memadam artikel tersebut daripada laman webnya, Bloomberg Terminal dan semua platform pihak ketiga, selain menyiarkan permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui peguamnya.






