KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya berpeluang menyelesaikan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan diskaun sebanyak 50 peratus mulai 1 November hingga 30 Disember ini.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, diskaun ini terpakai untuk semua jenis saman yang boleh dikompaun, kecuali saman yang melibatkan kes mahkamah.
“Orang ramai yang masih mempunyai saman tertunggak boleh mengambil peluang ini dengan membayar saman mereka di kaunter-kaunter JPJ atau melalui saluran pembayaran yang disediakan.
“Tempoh untuk pembayaran diskaun ini adalah dari 1 November hingga 30 Disember 2025,” katanya.
Aedy Fadly berkata, diskaun 50 peratus ini tidak melibatkan saman daripada Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis Temu Siasat (114) serta Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu.
Beliau juga mengingatkan orang ramai selepas tempoh diskaun berakhir pada 30 Disember 2025, tiada lagi pemberian diskaun kepada umum, termasuk saman JPJ dan saman polis.
“Kami berharap orang ramai memanfaatkan peluang ini menyelesaikan saman mereka sebelum 1 Januari 2026,” tambahnya.
Aedy Fadly mengumumkan JPJ kini melaksanakan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Oktober hingga 31 Disember 2025.
Operasi ini bertujuan membanteras kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.
“Sehingga kini, sebanyak 27,300 kenderaan sudah diperiksa dan 1,017 daripadanya dikesan membawa muatan berlebihan.
“Kami telah mengeluarkan saman kepada 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan di bawah pelbagai akta, serta menyita 96 lori,” katanya.
Aedy Fadly berkata, kenderaan yang membawa muatan seperti batu, kerikil, besi dan bahan pembinaan lain menjadi sasaran utama dalam operasi ini.
