
KUALA LUMPUR: Beberapa negeri di utara dan timur Malaysia berdepan bencana banjir dengan Sabah kembali dilanda musibah itu, manakala jumlah mangsa di Kedah kembali meningkat pagi tadi.
Keadaan di Pulau Pinang dan Perak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Di Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan seramai 44 mangsa daripada 16 keluarga di daerah Sipitang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Mini Mesapol selepas lima kampung di daerah itu dilanda banjir lewat petang semalam.
Menurut kenyataan JPBN, penduduk terbabit mula dipindahkan sejak tengah malam bagi memastikan keselamatan mereka selepas paras air meningkat secara mendadak.Sementara itu, di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat pagi ini dengan 1,281 orang daripada 372 keluarga direkodkan berbanding 1,169 orang daripada 329 keluarga malam tadi.
JPBN Kedah memaklumkan, Kota Setar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan 225 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang dibuka pada 9.30 malam tadi.
Kulim kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 554 orang daripada 163 keluarga di empat PPS, diikuti Pendang dengan 330 mangsa daripada 90 keluarga di dua PPS.
Pokok Sena pula merekodkan 136 mangsa daripada 39 keluarga, Kubang Pasu dengan 23 mangsa daripada 11 keluarga, manakala Padang Terap menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga di sebuah PPS.
Menurut laman Public Infobanjir, tiga sungai di Kedah dilaporkan melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Pendang (3.55m), Sungai Titi Kerbau (6.31m), dan Sungai Padang Terap (4.12m).
Di Pulau Pinang, keadaan semakin pulih apabila jumlah mangsa menurun kepada 411 orang daripada 108 keluarga pagi tadi berbanding 646 mangsa daripada 179 keluarga semalam.
Data di portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.20 pagi menunjukkan, empat PPS masih beroperasi di Seberang Perai Utara, antaranya di SK Lahar Yooi (154 mangsa, 41 keluarga), Pusat Penempatan Labuh Banting (114 mangsa, 31 keluarga), SK Padang Menora (78 mangsa, 21 keluarga) dan SAR Nyior Sebatang (46 mangsa, sembilan keluarga).
Sebuah PPS di SK Guar Perahu di Seberang Perai Tengah turut menempatkan 19 mangsa daripada empat keluarga.
Di Perak, jumlah mangsa terus berkurangan kepada 1,129 orang daripada 362 keluarga berbanding 1,158 orang daripada 375 keluarga malam tadi, melibatkan 12 PPS di empat daerah.
Daerah Larut, Matang dan Selama merekodkan 361 mangsa di tiga PPS iaitu Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang, SK Matang, dan Surau Al-Hidayah Pondok Quint Batu 13.
Di Manjung, lima PPS masih beroperasi di SK Sungai Batu, SAR Padang Serai, SK Beruas, SK Pantai Remis dan SK Gangga, menempatkan 510 mangsa daripada 172 keluarga.
Bagi Perak Tengah, seramai 110 mangsa daripada 31 keluarga masih berada di SMK Layang-Layang Kiri, Parit, manakala di Kerian, dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman menempatkan 148 mangsa daripada 46 keluarga.
Keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa hari lalu terus menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat dan agensi pengurusan bencana bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas sentiasa terjamin.







