
SHAH ALAM: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dengan rampasan syabu dan bunga ganja seberat 221.4 kilogram bernilai RM14.6 juta menerusi empat siri serbuan berasingan antara 3 hingga 5 Mac lalu.
Operasi bersepadu itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang serta Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad.
Hasil serbuan berkenaan, seorang lelaki tempatan serta lima warga asing termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes pertama membabitkan penahanan empat warga asing termasuk seorang wanita dengan rampasan dadah disyaki bunga ganja seberat 116.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM9.35 juta.
Pada 3 Mac lalu, beliau berkata, seorang lelaki yang disyaki bertindak sebagai keldai dadah ditahan di KLIA selepas pemeriksaan mendapati bagasinya mengandungi 49 bungkusan plastik berisi dedaun kering disyaki bunga ganja seberat 27.2 kilogram yang dipercayai cuba diseludup ke luar negara.
“Susulan tangkapan itu, pada 4 Mac, seorang lagi lelaki warga asing yang dipercayai antara dalang utama sindiket ditahan di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang.
“Polis turut merampas sebuah bagasi yang mengandungi 25 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 14.3 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek termasuk seorang wanita warga asing di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Katanya, pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan lima bagasi yang mengandungi 136 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 74.8 kilogram.
Menurut Shazeli, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai memasuki negara ini antara Disember tahun lalu hingga pertengahan bulan lalu menggunakan pas lawatan pelancong.
“Kesemua mereka dipercayai berada dalam rangkaian sindiket yang sama dan dadah yang dirampas disyaki untuk pasaran luar negara.
“Polis turut menyita dua buah kereta, dua utas jam tangan termasuk jenama mewah serta mata wang kripto,” katanya.
Dalam kes berasingan, Shazeli berkata, dua lelaki termasuk seorang warga asing turut ditahan di sekitar Gombak bersama rampasan dadah jenis syabu seberat 105.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5.25 juta.
Beliau berkata, dadah berkenaan ditemukan dalam lima beg kanvas yang mengandungi 64 bungkusan plastik bertulis ‘Daguanyin’ yang disimpan di bahagian belakang sebuah van jenis Nissan yang digunakan suspek.
“Hasil semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 34 tahun bekerja sebagai penghantar barangan syarikat kurier dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek kedua pula seorang warga asing berusia 47 tahun yang bekerja di sebuah kuil di sekitar Batu Caves dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan sindiket itu dipercayai mula aktif sejak bulan lalu.
Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





