
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat kepada 1,361 orang setakat pagi ini selepas hujan lebat berterusan sejak semalam, menyebabkan lebih ramai penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Sabah, jumlah mangsa meningkat kepada 1,020 orang daripada 502 keluarga setakat pagi ini, berbanding 445 orang daripada 143 keluarga yang direkodkan malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 40 kampung di tiga daerah terjejas akibat banjir dan kesemua mangsa kini ditempatkan di lima PPS yang dibuka setakat ini.
Daerah Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 851 orang daripada 456 keluarga membabitkan lapan kampung terjejas, meningkat berbanding 398 orang daripada 132 keluarga malam tadi.
Kesemua mangsa di daerah itu ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 dan SMK Tandek.
Di Paitan pula, sebanyak 26 kampung dilaporkan terjejas dengan jumlah mangsa meningkat kepada 127 orang daripada 37 keluarga berbanding 47 orang daripada 11 keluarga malam tadi.
Kesemua mangsa di daerah berkenaan ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Batagon Darat dan PPS Gereja PCS Purubatu.
Di Pitas, seramai 42 mangsa daripada sembilan keluarga dari enam kampung dipindahkan ke PPS Dewan Sinukab yang baru dibuka pagi ini.
Di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di Kuching turut mencatatkan peningkatan kepada 341 orang daripada 91 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 329 orang daripada 92 keluarga malam tadi.
Menurut JPBN Sarawak, dua PPS yang kini beroperasi ialah Dewan R-Piang yang menempatkan 116 mangsa daripada 24 keluarga dari Kampung Sinar Budi Baru.
Manakala Dewan Masyarakat Stapok pula menempatkan 225 mangsa daripada 67 keluarga dari Kampung Desa Ria.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sarawak meliputi Sri Aman (Lubok Antu), Betong, Sarikei dan Mukah sehingga pukul 12 tengah hari ini.




