LONDON: Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea mengumumkan pelantikan pengendali Strasbourg, Liam Rosenior sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu bagi menggantikan Enzo Maresca.
Jurulatih berusia 41 tahun dari England itu menandatangani kontrak jangka panjang sehingga 2032 dan menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan besar dalam kerjayanya.
“Diberi kepercayaan untuk memegang peranan ini amat bermakna dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas peluang serta keyakinan diberikan untuk menggalas tugas ini.
“Saya akan memberikan segala-galanya untuk membawa kejayaan yang layak diterima oleh kelab ini.”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, amat percaya kepada kerja berpasukan, perpaduan, kebersamaan dan semangat bekerja antara satu sama lain.
Ujarnya, nilai-nilai tersebut akan menjadi teras dan asas kepada kejayaan kelak.
“Saya teruja untuk bekerjasama dengan kumpulan pemain dan kakitangan yang sangat berbakat dan membina hubungan kukuh di dalam dan di luar padang.
“Bahkan, mewujudkan persekitaran di mana semua orang berasa bersatu dan digerakkan oleh matlamat yang sama,” katanya.
