
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan Harimau Malaya menurunkan pemain tidak layak dalam dua aksi kelayakan menentang Nepal dan Vietnam.
Dalam kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), keputusan tersebut diputuskan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang semalam.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, Jahangir Baglari itu mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak ketika menentang Nepal dan Vietnam.
“Berdasarkan keputusan asal perlawanan terbabit, Malaysia menang 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac 2025 dan menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun 2025.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan itu berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
“FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119),” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan tersebut, FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara itu.







