
SEPANG: Seramai 45 jemaah asnaf terpilih berpeluang menunaikan ibadah umrah secara tajaan penuh menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Andalusia Travel & Tours dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Yayasan Imanul Faizin.
Program yang memasuki kali keempat bersama JKM itu melibatkan jemaah terdiri daripada penghuni Rumah Sri Kenangan dari seluruh Semenanjung Malaysia yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebelum ini.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, rombongan berkenaan akan berada di Tanah Suci selama 11 malam sehingga bulan Syawal, selain turut disertai lebih 200 jemaah lain dalam penerbangan yang sama.
“Inisiatif itu diharap bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima tajaan malah memberi kesan positif kepada keluarga serta masyarakat melalui penghayatan ibadah dan nilai kesyukuran.
“Insya-Allah dalam perjalanan kali ini mereka, terutamanya asnaf daripada JKM, mereka yang tidak pernah mengerjakan umrah tetapi berpeluang untuk mengerjakan umrah secara percuma kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, kesemua jemaah yang dipilih berada dalam lingkungan usia sekitar 60 hingga 70 tahun dan telah melalui proses saringan bagi memastikan mereka berkeupayaan mengurus diri serta menunaikan ibadah dengan baik.
Katanya, program berkenaan sebelum ini pernah dilaksanakan pada 2018 dengan jumlah jemaah lebih besar namun terhenti susulan pandemik COVID-19.
“Sebenarnya Andalusia dalam beberapa minggu sudah telah mengadakan kunjungan JKM bagi mengadakan progrm kerjasama dan saya sempat berseloroh mana tahu tahun ini boleh dapat menaja beberapa orang.
“Alhamdulillah, Andalusia bukan setakat menaja 4 hingga 5 orang tetapi 45 jemaah. Mudah-mudahan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya meminta JKM mencari sebilangan jemaah asnf yang benar-benar layak untuk pergi ke Tanah Suci mewakili setiap negeri.
“Jadi mereka tolong cari, jadi kita tak payah apa-apa. Takut jadi pilih kasih, biar JKM yang pakar membuat pemilihan.
“Kita sangat-sangat bersyukur kerana orang ini tak pernah terdedah dengan suasana pergi ke Mekah dan sebagainya, tak termipi langsung. Tiba-tiba kita boleh bawa mereka pergi.
“Alangkah banyaknya kesyukuran yang Allah beri kepada yayasan, jemaah dan kami di Andalusia pun kami memberi bimbingan sebab pengalaman kami membawa asnaf 5 kali merupakan pengalaman yang sangat berharga kepada kami, insya-Allah,” katanya.







