
KUALA LUMPUR: Masjid Imanul Fai’zin di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, Kota Bharu, Kelantan sekali lagi menganjurkan Majlis Berbuka Puasa sepanjang bulan Ramadan dengan konsep yang cukup istimewa.
Program memasuki tahun ketiga itu, menghimpunkan masyarakat setempat dan luar dianjurkan dalam suasana penuh sederhana tetapi sarat dengan nilai kebersamaan serta keberkatan.
Aroma masakan tradisi memenuhi ruang dataran menjelang waktu berbuka mencetuskan suasana yang bukan sekadar tentang makanan tetapi ukhwah dan kasih sayang sesama insan.
Lebih dikenali sebagai Masjid Andalusia, ia mula dibina pada 2020 dengan mendapat suntikan inspirasi daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga menjadi antara tarikan pelancongan di negeri Kelantan.

Pengasas masjid, Ibrahim Mat Sin berkata, setiap hari terdapat kira-kira 1,000 jemaah diraikan dengan pelbagai juadah tradisi Kelantan yang akan menikmati hidangan di dataran masjid.
“Para jemaah akan duduk bersila bersama keluarga dan sahabat, berkongsi rezeki dalam suasana yang mengingatkan kepada pengalaman berbuka puasa di tanah suci.
“Saban tahun, program ini semakin mendapat perhatian bukan sahaja masyarakat setempat malah kehadiran pengunjung dari luar kawasan yang ingin merasai sendiri suasana berbuka puasa ala Mekah dan Madinah di dataran masjid,” katanya.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menambah, kemuncak kemeriahan diteruskan dengan solat tarawih berjemaah yang menyaksikan saf melimpah hingga ke dataran luar masjid.
Ibrahim memberitahu, suasana tersebut menjadikan bulan Ramadan cukup istimewa dalam penyatuan ummah.

“Dalam usaha mengimarahkan waktu Subuh, pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid turut mencadangkan penyediaan sahur kepada jemaah yang hadir solat Subuh berjemaah.
“Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai untuk memulakan hari dengan langkah ke masjid sekali gus menjadikan Ramadan bukan hanya hidup di waktu malam tetapi bercahaya di waktu fajar,” ujarnya.
Ibrahim menjelaskan, masyarakat dijemput hadir bersama keluarga dan sahabat untuk merasai sendiri pengalaman Ramadan di Masjid Imanul Fai’zin.







