
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd memaklumkan semua jemaah umrah syarikat terbabit selamat serta berada di Mekah, Arab Saudi.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris menegaskan, tiada jemaah Andalusia terkandas di Jeddah seperti yang tular baru-baru ini.
“Operasi Umrah berjalan seperti biasa dengan pemantauan rapi terhadap semua faktor keselamatan dan koordinasi bersama pihak berkaitan.
“Buat masa ini, kita mempunyai sekumpulan jemaah yang diterbangkan pada 18 Februari lalu dan sepatutnya pulang pada 1 Mac lalu tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pembatalan penerbangan atas faktor-faktor keselamatan dan keputusan operasi syarikat berkenaan.
“Seramai 821 jemaah ini dalam keadaan selamat dan sihat serta berada di Mekah bersama Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah serta mutawif-mutawif,” katanya pada sidang media di Facebook hari ini.

Beliau menambah, kesemua jemaah terbabit diberikan penginapan dan makanan secara percuma malah menjalani ibadah tambahan di Mekah dalam suasana tenang.
Katanya, Andalusia masih menunggu pihak Amal by Malaysia Airlines tentang penerbangan semula yang dijadualkan selewat-lewatnya pada 5 Mac nanti.
“Bagaimanapun, keputusan Amal by Malaysia Airlines mungkin berubah diawalkan atau sebagainya tetapi kami telah dimaklumkan pada 5 Mac, mereka akan memulakan penerbangan semula ke Jeddah dan Madinah.
“Sama ada melalui Malaysia Airlines atau Andalusia juga akan mengambil tiket-tiket tambahan lain Saudi Airlines memastikan jemaah-jemaah yang telah berada di Mekah dan Madinah akan diterbangkan ke tanah air selewat-lewatnya pada 6 Mac ,” katanya.

Dalam pada itu, Ida Riswana berkata, berikutan ketegangan di Asia Barat, kumpulan yang sepatutnya diterbangkan pada 1 Mac melalui penerbangan Malaysia Airlines ke Tanah Suci pula dijadualkan semula pada pukul 2.15 pagi hari ini dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines.
“Kumpulan seramai 85 jemaah ini telah selamat sampai di Jeddah dan ia merupakan inisiatif Andalusia agar para jemaah dapat diterbangkan untuk menunaikan ibadah umrah.
“Setakat ini, pergerakan jemaah-jemaah Andalusia dalam bulan Ramadan yang terhenti seketika akibat perubahan ataupun keputusan syarikat penerbangan tidak terganggu.
“Bagi penerbangan 4 Mac pula yang terdapat 48 jemaah, Andalusia telah membayar tiket baharu dengan menggunakan perkhidmatan penerbangan Saudi Airlines kerana syarikat terbabit tidak berubah jadual penerbangan,” katanya.

Beliau menambah, keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan Andalusia.
Katanya, Andalusia hanya akan membenarkan perjalanan diteruskan sekiranya laluan udara dan operasi penerbangan disahkan selamat oleh pihak berkuasa antarabangsa.
“Kami menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Andalusia komited untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan terkini dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Sementara itu, Md. Daud yang berada di Mekah memberitahu, para jemaah berada dalam keadaan sihat dan tenang.
“Suasana di Mekah tidaklah hiruk pikuk sangat malah keadaan adalah seperti biasa dan baik sahaja. Tiada masalah apa-apa yang dihadapi para jemaah.
“Justeru, keluarga di Malaysia tidak perlu bimbang. Keadaan cuaca juga sangat baik tetapi pada waktu malam agak sejuk sedikit,” katanya.







