
KUALA LUMPUR: Blok kerajaan dan pembangkang di Parlimen hari ini mengetepikan perbezaan politik untuk bersolidariti terhadap Iran.
Ia sekali gus menjadi antara Parlimen terawal menyatakan pendirian tegas mengutuk keras serangan biadab rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kesepakatan luar biasa antara blok kerajaan dengan pembangkang itu sebagai manifestasi jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal maruah, kedaulatan dan kemerdekaan sesebuah negara.
“Ia menyentuh perasaan saya apabila melihat kita boleh berbeza pendapat dalam banyak hal tetapi dalam soal kedaulatan dan kemaslahatan bersama, tidak ada perbezaan. Ini petanda baik bagi negara kita.
“Kita sedar, apabila kita memberanikan diri menyatakan yang hak, pertahankan kebenaran dan keadilan, kita mungkin mengundang sedikit sebanyak masalah selain masalah ekonomi akibat perkembangan geopolitik dan juga peredaran dan pengangkutan minyak dan sebagainya.
“Tetapi, ini suara rakyat Malaysia dan apa-apa pun kita hadapi bersama,” katanya ketika menggulung usul mengutuk serangan biadap dan ganas Israel dengan sokongan AS terhadap Iran di Dewan Rakyat, hari ini.
Menyentuh tentang isu forced regime change atau pertukaran rejim secara paksa yang menyasarkan ketua negara dan kemudahan awam, Anwar menyifatkannya perkara itu sebagai satu keganasan melampau yang mencabuli tatanan hukum dunia serta tidak boleh diterima oleh mana-mana tamadun manusia.
Beliau berkata tindakan tersebut ialah satu keangkuhan kuasa besar yang cuba menentukan kepimpinan sesebuah negara berdaulat melalui kekerasan.
Dalam ucapan penggulungannya juga, Anwar berkata kerajaan sentiasa bersiap-siaga dan berwaspada terhadap sebarang ancaman termasuk dari luar yang bertujuan mengganggu gugat pentadbiran dan kedaulatan negara.
Beliau berkata kerajaan tidak akan sesekali membenarkan campur tangan mana-mana negara luar atau syarikat asing dalam sebarang urusan.







