
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 yang sedang dilaksanakan secara teliti tanpa tergesa-gesa, dengan mengambil kira sejarah pembentukan Kuala Lumpur serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata aspek sejarah menjadi antara pertimbangan utama yang akan dihormati sepanjang proses kajian berkenaan.
Beliau berkata kerajaan akan menunggu hasil kajian lengkap sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, termasuk membawa perkara itu untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Kita tunggu dahulu hasil kajian. Saya akan pastikan ia dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan. Kita tidak akan menyentuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong ataupun kuasa-kuasa Raja-Raja.
“Saya beri jaminan jangan risau kerana yang akan diwujudkan dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ialah berasaskan undang-undang, bukan sahaja Akta Ibu Kota sedia ada, tetapi kita menghormati semua kuasa Raja, kuasa Eksekutif dan kuasa Legislatif serta sejarah pembentukan Kuala Lumpur,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan mengambil kira aspek sejarah pembentukan Kuala Lumpur dalam kajian kebolehlaksanaan pindaan akta berkenaan.
Sebelum ini, Hannah memaklumkan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, termasuk cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, dijangka dimuktamadkan pada hujung bulan ini.
Kajian menyeluruh yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertujuan memperkukuh reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), susulan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen pada November 2025.
Mengulas kebimbangan bahawa kajian berkenaan memberi gambaran seolah-olah mahu mengubah kuasa pelantikan Datuk Bandar yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, beliau menjelaskan kajian itu telah diserahkan kepada UIAM sebelum beliau dilantik sebagai menteri.
“Kajian ini telah diberikan kepada UIAM sebelum saya masuk kementerian, sebelum saya dilantik sebagai Menteri Wilayah. Kajian itu telah dimuktamadkan dan diberikan kepada UIAM awal Disember (tahun lepas). Saya masuk 17 Disember.
“Jadi, sangkaan bahawa Menteri DAP hendak menyentuh kuasa itu tidak benar. Kajian ini telah wujud sebelum saya masuk,” katanya.





