
KUALA LUMPUR: Ahi Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menggesa ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) memboikot semua program anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia sebagai tanda pendirian tegas membantah tindakan Israel dan AS yang melancarkan serangan terhadap Iran.
Menurut beliau, langkah itu wajar dipertimbangkan susulan tindakan Amerika Syarikat menaikkan tarif timbal balik pada tahun lalu yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, perkembangan semasa berpotensi membawa implikasi sama sekiranya keadaan tersebut terus berlarutan.
“Untuk menteri, mungkin mereka ada tanggungjawab (untuk hadir) tapi kita di BBC, kita perlu buat sesuatu. Kita boikotlah Kedutaan AS ini.
“Sekarang ini, mereka buat dengan perang ini, tentu akan jejaskan ekonomi kita.
“Jadi, mungkin apa kita boleh buat, kita ambil pendirian sebagai Ahli BBC yang tiada jawatan dalam kerajaan, kita tak payah pergilah jika dapat jemputan (daripada Kedutaan AS), seperti Hari Kemerdekaan.
“Kita tunjukkan, kita tidak boleh lagi terima apa yang mereka lakukan,” katanya ketika mencelah perbahasan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) bagi sesi penerangan situasi keselamatan di Iran dan rantau Asia Barat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.





