
TEHERAN: Situasi di Asia Barat semakin tegang susulan dakwaan serangan siber besar-besaran yang menyasarkan infrastruktur digital Iran, termasuk aplikasi waktu solat popular, BadeSaba.
Aplikasi berkenaan digodam untuk menghantar notifikasi dalam bahasa Parsi yang menggesa anggota keselamatan Iran supaya meletakkan senjata dan menyerah diri.
Mesej berkenaan turut mengajak mereka menyertai apa yang digelar sebagai ‘pasukan pembebasan’ dengan tawaran pengampunan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan sistem komunikasi dalaman negara itu.
Selain aplikasi, laman web rasmi BadeSaba serta beberapa portal kerajaan dan media tempatan turut mengalami gangguan serupa.
Penganalisis keselamatan siber menyifatkan serangan berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi untuk melumpuhkan koordinasi respons Teheran dalam menghadapi ketegangan serantau.
Sejurus insiden itu, pemantau bebas melaporkan gangguan internet berskala besar di seluruh Iran, dengan tahap ketersambungan merosot mendadak kepada empat peratus daripada paras biasa.
Gangguan berkenaan menjejaskan akses kepada perkhidmatan dalam talian dan komunikasi awam, sekali gus memburukkan lagi keadaan di tengah-tengah konflik yang memuncak.
Laporan media antarabangsa mengaitkan operasi siber berkenaan dengan Israel, namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa.
Ketegangan siber itu dilihat sebagai dimensi baharu dalam konflik serantau yang kini bukan sahaja melibatkan serangan ketenteraan, malah peperangan maklumat dan infrastruktur digital.







