
DUBAI: Gangguan terbesar terhadap pengangkutan udara global sejak pandemik Covid-19 berterusan apabila ribuan penerbangan terjejas dan beberapa hab utama di Asia Barat ditutup susulan serangan balas Iran terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Hab penerbangan utama di negara Teluk seperti Dubai dan Doha menghentikan operasi selepas Iran melancarkan serangan terhadap beberapa bandar di rantau itu sebagai tindak balas terhadap serangan terdahulu.
Penumpang di seluruh dunia terkandas apabila syarikat penerbangan terpaksa mengubah laluan mengelilingi Asia Barat susulan tindakan beberapa negara menutup ruang udara sama ada sebahagian atau sepenuhnya.
Teheran sebelum ini menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa serta lapangan terbang utama Kuwait.
Negara termasuk Iran, Iraq, Israel, Syria, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing sekali gus menjejaskan rangkaian penerbangan global.
Firma analisis penerbangan Cirium memaklumkan lebih 1,500 penerbangan ke Asia Barat dibatalkan pada Ahad, mewakili lebih 40 peratus trafik berjadual.
Laman penjejakan penerbangan FlightAware pula melaporkan lebih 2,700 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia dan lebih 12,300 lagi mengalami kelewatan setakat petang Ahad.
Situasi itu turut memberi kesan kepada penumpang transit dan pelancong, termasuk penyanyi rap Itali, BigMama, yang memaklumkan penerbangannya dialihkan ke kawasan berhampiran Dubai ketika serangan berlaku.
Beberapa negara termasuk Perancis dan Thailand kini mempertimbangkan usaha memindahkan rakyat masing-masing dari Asia Barat melalui hab alternatif seperti Istanbul.
Selain gangguan penerbangan, letupan turut dilaporkan menggegarkan kawasan Palm Jumeirah di Dubai dan menyebabkan kebakaran di hotel mewah Burj Al Arab, sekali gus mencerminkan ketegangan yang semakin memuncak di rantau berkenaan.







