
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan memastikan keselamatan lebih 29,000 rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat susulan ketegangan memuncak akibat serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata setakat ini seramai 29,112 rakyat Malaysia yang berdaftar dan tidak berdaftar dikenal pasti berada di beberapa negara di rantau berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memelihara serta menjamin keselamatan rakyat Malaysia termasuk mereka yang terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan.
“Sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin. Ramai yang terkandas susulan penutupan ruang udara manakala sebahagian lagi memang menetap dan bekerja di sana.
“Ada juga dalam kalangan mereka terdiri daripada pelancong serta jemaah umrah. Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia di rantau Asia Barat termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar mencecah 29,112 orang,” katanya ketika mengemukakan usul mengutuk serangan Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, antara negara yang mencatatkan jumlah rakyat Malaysia paling ramai ialah Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.
Katanya, Kementerian Luar melalui Wisma Putra memantau rapi perkembangan semasa dengan kerjasama kedutaan Malaysia di negara terbabit bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan termasuk usaha membawa pulang rakyat Malaysia jika keadaan memerlukan.
“Buat masa ini, penerbangan keluar dari Arab Saudi dibenarkan, namun bagi negara lain masih belum ada kepastian berikutan sekatan ruang udara,” katanya.





