
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan empat anak kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut satu kenyataan, empat individu berkenaan ialah Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim, yang merupakan anak kepada bekas Menteri Kewangan itu.
SPRM berkata, alamat terakhir Asnida ialah di Country Heights, Kajang dan maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Siasatan, Mohamad Daeem Mohd Ali (017-9127217).
“Md Wira Dani beralamat terakhir di di No. 333, Jalan Kolam Air, Taman Melawati, Ulu Klang dan maklumat mengenainya boleh disalurkan kepada Pegawai Siasatan, Ahmad Aiman Ramly (011-61930814).
“Muhammed Amir Zainuddin pula beralamat terakhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Siasatan, Muhamad Ridhwan Mat Hussain (019-9895174),” kata kenyataan itu.
SPRM turut mengesan Muhammed Amin Zainuddin beralamat terakhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Siasatan, Hardiansyah Ismail (013-5639147).
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan individu berkenaan diminta segera menghubungi pegawai penyiasat yang disenaraikan atau menghantar e-mel ke alamat rasmi SPRM yang berkaitan.
“SPRM meminta kerjasama masyarakat untuk membantu melancarkan proses siasatan,” menurut kenyataan itu.







