
KAJANG : Kerajaan sudah mengadakan perbincangan berhubung cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan bahawa satu kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita dah bincang (dalam mesyuarat Kabinet) tadi, elok. Nanti ada kenyataan (akan dikeluarkan),” katanya ringkas ketika ditemui di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencadangkan dalam mesyuarat Kabinet supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ serta isu pemilikan saham.
Bahkan, penasihat DAP, Lim Guan Eng turut mengumumkan parti itu bakal mengadakan kongres khas pada 12 Julai depan bagi membolehkan perwakilan memutuskan sama ada pemimpin mereka harus melepaskan jawatan kerajaan atau tidak.





