
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju menangguhkan perpindahan penjaja di Lorong Haji Hussein, Chow Kit ke Kompleks Pasar Raja Bot sehingga projek pembangunan berkenaan siap sepenuhnya.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang sebelum ini membangkitkan isu tersebut bagi pihak peniaga di kawasan itu.
“Mengambil kira pandangan Johari serta kepentingan semua pihak terlibat, DBKL bersetuju untuk menangguhkan pemindahan sehingga Kompleks Pasar Raja Bot siap sepenuhnya,” menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum ini memaklumkan sebanyak 34 pemilik premis di kawasan berkenaan memohon arahan pemindahan ditangguhkan.
Katanya, kebanyakan peniaga bersetuju untuk berpindah, namun mereka mahu projek pembangunan berkenaan disiapkan terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka tidak terjejas.





