
KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka mengetuai Parti Keluarga Malaysia sebagai platform baharu untuk meneruskan perjalanan politiknya selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), bulan lalu.
Memetik BH Online,Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya, mengesahkan bahawa usaha membuka laluan kepada Hamzah untuk memimpin parti tersebut kini hampir menemui kepastian.
“Perbincangan telah diadakan sebanyak dua kali bersama Datuk Seri Hamzah serta beberapa ahli Parlimen lain yang turut dipecat daripada BERSATU, termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Perbincangan terakhir berlangsung minggu lalu pada hari Khamis, dan ia menunjukkan hampir 90 peratus kemungkinan Hamzah mengambil alih kepimpinan parti,” katanya.
Sementara itu, Khairi Jaya menjelaskan langkah seterusnya memerlukan persetujuan semua pihak dan merangkumi perkara berkaitan pelantikan jawatan dalam parti.
Beliau menambah akan diadakan proses pemilihan bagi menentukan Ahli Parlimen Larut sebagai Presiden parti.
“Semua kini berjalan lancar. Proses pemilihan akan melantik Hamzah sebagai Presiden dan kami sedang menyusun perlembagaan parti bagi membolehkan ia direalisasikan,” katanya.







