
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes rasuah melibatkan projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar sebulat suara memutuskan bahawa tiada kesilapan dilakukan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Persekutuan.
Peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Rosmah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.
Mahkamah juga memutuskan bahawa Mohamed Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa draf penghakiman yang bocor telah disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum beliau menyampaikan keputusannya pada 1 September 2022.
Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, daripada kes berkenaan.
Beliau memfailkan permohonan itu pada saat akhir sebelum Hakim Mohamed Zaini dijadual menyampaikan keputusannya pada 1 September 2022.
Dalam permohonan itu, Rosmah mendakwa draf penghakiman dalam kesnya yang didakwa disediakan oleh pihak ketiga, telah dibocorkan sebelum keputusan itu disampaikan.
Pada hari sama, Rosmah, 74, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah itu dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara 30 tahun dikenakan sekiranya gagal membayar denda itu.
Beliau bagaimanapun diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan rayuan.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.





