
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud cubaan menjatuhkan kerajaan yang didakwa disokong pihak tempatan dengan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk kelompok Zionis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati gerakan itu berpangkalan di luar negara, mempunyai dana besar dan telah mengadakan enam pertemuan sepanjang 2025.
“Dalam tempoh itu, strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui meja bulat antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan seterusnya menggerakkan international push. Kemudian, maklumkan Bloomberg (media antarabangsa) bagi tindakan selanjutnya.
“Strategi mereka seterusnya ialah menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan, khususnya SPRM serta menggunakan kekuatan dan kontak dengan negara-negara luar dengan tujuan memberi naratif mempertikai kewibawaan negara dan kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai status siasatan PDRM berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata selain gerakan melalui media antarabangsa bagi menerbitkan artikel yang mempertikai kerajaan dan pegawai bank untuk menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara, terdapat juga fakta bahawa kelompok itu menggunakan hubungan bersama Ahli Parlimen untuk mencipta naratif tertentu.
Anwar berkata cubaan untuk menjatuhkan kerajaan itu dipercayai didorong oleh beberapa siri siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan oleh SPRM.
Beliau seterusnya mendedahkan garis masa perancangan untuk menjatuhkan kerajaan dilaporkan bermula sejak Ogos 2024 dan dijangka berlarutan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sehubungan itu, Anwar berkata perkara itu menuntut kearifan dan kewajaran semua pihak untuk bersama-sama memikir serta merenung kepentingan menyelamatkan negara, seperti mana kebersamaan ditunjukkan oleh ahli Parlimen termasuk pembangkang dalam mengecam serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, semalam.
Perdana Menteri berkata laporan lanjut termasuk berhubung penglibatan kumpulan Zionis dalam gerakan berkenaan akan didedahkan selepas siasatan selesai sepenuhnya dan segala fakta dimuktamadkan.





