
KUALA LUMPUR : Syarikat pengeluar produk tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad mengesahkan pengarah ladangnya terkorban dalam satu insiden nahas helikopter di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina pagi semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee berkata mangsa, Jacob Mathan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.20 pagi ketika dalam penerbangan menuju ke lokasi ladang berpotensi di negara tersebut.
Beliau menambah, perjalanan dianggap rutin itu bertukar menjadi tragedi apabila helikopter dinaiki mengalami kerosakan enjin sebelum terhempas.
“Saya masih sukar memproses kejadian ini walaupun beberapa jam selepas dimaklumkan mengenai pemergiannya.
“Ketua Pegawai Eksekutif kami di Filipina, Shawn turut cedera dan syukurlah kini berada dalam keadaan stabil.
“Marilah kita semua mendoakan kekuatan dan ketabahan buat isteri Jacob, Amy serta keluarga mereka dan agar Shawn segera pulih,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, seorang rakyat Malaysia maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah helikopter yang membawa lima individu terlibat dalam nahas di Filipina.
Kemalangan itu turut mengorbankan nyawa seorang penumpang warga Filipina selepas helikopter jenis Bell 505 itu dilaporkan melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan tanah kosong kira-kira jam 7.27 pagi.







