
KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang mewakili balu bekas Menteri Kewangan, Naimah Khalid, menolak dakwaan bahawa anak guamnya cuba menjatuhkan kerajaan dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan terbesar’.
Nizamuddin Hamid mengesahkan beliau merupakan seorang daripada dua peguam yang dinamakan dalam laporan polis mendakwa mereka menghadiri mesyuarat bersama Naimah, kononnya bagi membincangkan komplot berkenaan.
Seorang lagi peguam ialah rakan kongsi firma guamannya, Amir Zharif Abdullah.
Namun, Nizamuddin menegaskan tiada sebarang perbincangan atau arahan daripada Naimah berhubung komplot untuk menjatuhkan kerajaan atau menggugat demokrasi negara.
“Itu adalah pembohongan terbesar. Keluarga Daim berhak mempertahankan diri di mahkamah dan di media daripada dakwaan sedemikian, sama ada daripada kerajaan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kenyataan media yang dikeluarkan jelas menunjukkan reaksi beliau yang dakwaan itu tidak masuk akal,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.
Minggu lalu, Bukit Aman mengesahkan menyiasat dakwaan cubaan individu tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan dan mengancam kestabilan negara, berdasarkan laporan polis berkenaan.
Laporan polis itu mendakwa seorang ahli keluarga berpengaruh telah melantik firma dari United Kingdom (UK) untuk memberi tekanan kepada SPRM dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan bantuan media antarabangsa.
Dakwaan itu timbul susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dan tidak mengisytiharkan asetnya secara terbuka.
Dalam laporan sama, Bloomberg mendakwa satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan dan siasatan bagi memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual saham dalam syarikat yang disasarkan dan SPRM menafikan dakwaan tersebut.
Pada 27 Februari, Naimah menafikan sebarang keterlibatan dalam cubaan menggugat kerajaan dan menyifatkannya sebagai ‘tidak benar dan mengarut’.





